Persatuan Bolasepak Bahagian Kuching (KDFC) telah mengumumkan penganjuran kejohanan tahunan KDFA iaitu K-League LSC 2019.
Pertandingan tersebut bakal membuka tirainya pada bulan hadapan, 21 September 2019, berobjektif untuk merancakkan lagi industri bolasepak dan pembangunan bolasepak khususnya di sekitar Kuching.
Selain itu, Kuching bakal menggunakan kejohanan ini sebagai platform pencarian bakat-bakat baru yang berpotensi dan menyerlah untuk diketengahkan, dan seterusnya diserap ke pasukan Kuching FA pada masa hadapan.
Iskandar Sharkawi selaku Pengerusi K-League LSC 2019 pada musim ini menegaskan beberapa peraturan baru bakal diperkenalkan untuk menarik minat pasukan-pasukan di sekitar Kuching menyertai kejohanan ini.
Antara peraturan terbaharu adalah bagi kategori khas iaitu pemain yang berdaftar di Liga M, pemain yang berumur 30 tahun ke atas dan pemain import. Hanya 3 orang pemain kategori khas dibenarkan bermain dalam satu masa.
Untuk kejohanan kali ini, KDFA menghadkan penyertaan pasukan sebanyak 12 pasukan sahaja yang mana akan beraksi di dua venue utama kejohanan iaitu di Stadium Sarawak dan Padang D, dengan Padang Jubilee juga akan digunakan sekiranya keadaan memerlukan.
Kejohanan dijadualkan berlangsung pada 21 September sehingga 30 November sebelum bermulanya Piala Abang Jo 2019 dengan 6 pasukan terbaik K-League 2019 dan 2 pasukan terbaik liga Lundu diberi slot untuk bertanding di dalam Piala Abang Jo 2019 kemudiannya.
Kejohanan K-League 2019 menawarkan hadiah wang tunai, piala dan voucher barangan tajaan LSC.
Pasukan yang berminat perlu membayar yuran sebanyak RM 3000 dan akan mendapat satu set jersi tajaan LSC. Tarikh tutup penyertaan K-League LSC 2019 adalah pada 12 September 2019.
Turut akan bermain di dalam K-League musim ini adalah pasukan U19 Kuching FA.