Pemain tengah Sarawak, Júnior Aparecido Guimaro de Souza, atau lebih dikenali sebagai Juninho merupakan pemain import terakhir yang ditandatangi oleh Sarawak pada musim ini apabila pintu perpindahan Januari ditutup.
Pemain kebangsaan Timor Leste itu dilahirkan di Brazil, namun telah berjaya mendapatkan kerakyatan Timor Leste. Pihak SarawakCrocs kelmarin berjaya menebual Juninho berkenaan dirinya, serta harapannya untuk pasukan Sarawak.
Menurut Juninho, motivasi beliau sebagai pemain bolasepak hadir daripada keluarga beliau yang bergantung harap kepada dirinya. Juninho juga berkata bahawa beliau akan sentiasa berusaha memberikan yang terbaik kepada pasukan yang diwakilinya kerana ingin membuat penyokong gembira.
Mengulas tentang perpindahan beliau dari Selangor pada 2014, Junior memaklumkan beliau telah meminta untuk dilepaskan kerana terpaksa balik ke Brazil untuk menguruskan kematian anak saudara beliau. Walaubagaimanapun, beliau masih menghormati Selangor sebagai bekas pasukannya.
Juninho turut berterima kasih dengan pasukan Sarawak kerana telah memberikan beliau peluang untuk kembali bermain di Malaysia.
Pemain berusia 27 tahun juga menyatakan bahawa beliau tidak risau momentum persembahannya akan terganggu berikutan rehat panjang Liga Malaysia kali ini kerana beliau tetap berlatih walaupun liga bercuti.
Dalam pada itu, Juninho juga enggan meletak sebarang andaian berkenaan posisi Sarawak pada akhir musim ini sambil menambah bahawa peminat dan pihak pengurusan haruslah realistik berkenaan pencapaian pasukan. Tambah Juninho, yang lebih penting adalah Sarawak memenangi lebih banyak perlawanan.
Juninho di akhir temubual kami mengakui beliau amat suka kehidupan di Kuching dan Laksa Sarawak merupakan antara makanan kegemaran beiau sekeluarga. Beliau juga berjanji akan berjuang habis-habisan bagi memastikan pasukan Sarawak memperolehi keputusan yang dikehendaki oleh semua peminat.