Penyerang sensasi Sarawak, Joseph Kalang Tie tidak berkecil hati sekali pun disisihkan dari kesebelasan utama pasukan Sarawak dalam beberapa perlawanan kebelakangan ini.
“Saya tidak kisah menjadi pemain simpanan kerana apa yang penting adalah kejayaan pasukan,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.
“Saya percaya jurulatih lebih tahu apa yang terbaik bagi pasukan dan sebagai pemain saya harus menerima apa jua perancangannya.”
Kapten pasukan Sarawak itu bagaimanapun mengaku prestasinya agak menurun kebelakangan ini namun menegaskan tidak berdepan sebarang masalah peribadi.
“Dalam dunia bolasepak, kita tidak akan sentiasa berada di atas. Sebagai pemain, kita harus menerima kenyataan jika tidak dapat menjaringkan gol.
“Tetapi saya anggap semua ini sebagai proses dan cabaran untuk memajukan diri.”
Menurut Joseph, beliau akan berusaha keras untuk mengembalikan semula prestasi dan merampas kedudukannya dalam kesebelasan utama pasukan.
Mengulas mengenai pertemuan dengan bekas pasukannya, Terengganu pada malam esok, Joseph menggesa rakan sepasukan agar tidak banyak melakukan kesilapan jika tidak mahu dikecewakan lagi di laman sendiri.
“Bagi saya kekuatan pasukan kita dan Terengganu adalah seimbang.
Cuma kita perlu mengelak dari melakukan sebarang kesilapan jika mahu memastikan kemenangan.
“Seperkara lagi, jangan terlalu yakin kerana Terengganu mempunyai ramai pemain yang berkebolehan,” tambahnya.
Joseph hanya menjaringkan satu gol setakat ini ketika Sarawak menewaskan KL Sime Darby 3-1 di Stadium Negeri pada Januari lalu.
Sumber: Joseph tidak ‘makan hati’ @ The Borneo Post