Analisis bilangan siaran langsung bolasepak: Peminat JDT, Selangor dan Pulau Pinang paling untung

Peminat Kelab bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT FC), Selangor dan Pulau Pinang didapati paling beruntung berdasarkan analisis ringkas SarawakCrocs berkenaan penjadualan siaran langsung perlawanan Liga Super 2016 sehingga perlawanan kelapan.

Menurut analisis ringkas SarawakCrocs, JDT FC hadir sebagai pasukan yang memiliki jumlah siaran langsung paling seimbang apabila mereka diberikan dua siaran langsung dari Stadium Larkin, dan dua lagi siaran langsung dari tempat lawan, sekaligus menyaksikan peminat kelab tersebut dapat menyaksikan empat siaran langsung sehingga perlawanan kelapan Liga Super musim ini.

Peminat pasukan Pulau Pinang juga dilihat amat beruntung apabila penjadualan siaran langsung diteliti, kerana mereka tidak perlu berkelana jauh ke tempat lawan untuk menyaksikan pasukan kesayangan mereka bermain. Ini adalah berasaskan fakta bahawa tiga perlawanan Liga Super Pulau Pinang di tempat lawan, telah disiarkan secara langsung oleh Media Prima sehingga kini.

Bagi peminat Selangor, penyiaran sehingga lima siaran langsung sehingga perlawanan kelapan Liga Super, sudah pasti telah mengembirakan mereka. Jumlah siaran langsung Selangor juga didapati paling banyak sehingga perlawanan kelapan, dengan tiga daripada siaran tersebut dibuat dari Stadium Selayang, dan dua lagi di tempat lawan.

Malang walaubagaimanapun menimpa peminat dari Terengganu FC II (T-Team) dan Perak The Bos Gaurus apabila mereka telah terpaksa berbelanja lebih apabila ingin menyaksikan pasukan mereka bermain di tempat lawan. Ini adalah disebabkan kedua-dua pasukan masih lagi belum diberi peluang oleh Media Prima untuk bersiaran langsung dari tempat lawan.

Home away live telecast stats

Analisis ringkas SarawakCrocs juga mendapati bahawa T-Team adalah satu-satunya pasukan yang belum mendapat siaran langsung walaupun mereka kini di kedudukan yang agak selesa di Liga Super.

Diharapkan analisis ringkas kami ini dapat membantu pihak berwajib menyeimbangkan bilangan siaran langsung Liga Super kerana ianya adalah tidak adil apabila hanya beberapa pasukan sahaja sering mendapat siaran langsung di kaca televisyen tempatan.

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top