Pasukan penuh Bujang Senang bakal dinamakan, dan jersi ala Dayak bakal ditonjolkan.
Kini, hanya tinggal kurang seminggu sebelum Liga Malaysia dimulakan, namun sebelum itu, biarlah kita membincangkan jangkaan kami berkenaan nasib pasukan bimbingan David Usop untuk musim ini.
Sebelum anda membaca jangkaan kami ini, sila sedia maklum bahawa ianya hanyalah andaian dan jangkaan, dan ianya tidak semestinya menjadi kenyataan.
TAKTIKAL
Ketua Jurulatih Sarawak FA kini adalah bekas pembantu Robert Alberts, Fuad Gbrsic dan K Rajagobal. Kesemuanya adalah jurulatih yang berpengalaman luas. Sungguhpun demikian, David paling lama di bawah Robert, dan kami hampir pasti pengaruh Robert ke atas kaedah taktikal David adalah tinggi. Dengan melihat kepada senarai pemain yang diambil David, kami agak yakin David akan kerap menggunakan kekuatan bahagian sayap Bujang Senang, dengan menggunakan hantaran lintang atau jauh sambil mengadaptasikan kekuatan serangan kilat yang digunakan Rajagobal.
PEMAIN TUMPUAN (TEMPATAN)
Dengan pasukan Bujang Senang dibarisi pemain muda, pemain tumpuan sudah pastilah hadir dari kalangan ini. Dalam pada itu, Tommy Mawat, Nur Shamie dan Rodney Celvin pasti menjadi tumpuan untuk menyinar. Beberapa pemain muda yang diserap ke pasukan Bujang Senang musim ini dijangka akan diberi peluang untuk beraksi juga, namun David dipercayai akan memberi peluang kepada pemain lebih ‘senior’ untuk beraksi di dalam kesebelasan utama. Yang pasti, tidak banyak perubahan akan dilihat pada barisan utama pasukan Bujang Senang, kecuali David menggunakan sistem rotasi, atau berlaku kecederaan.
PEMAIN TUMPUAN (ASING)
Ketajaman barisan serangan Bujang Senang yang hampir pasti ditunjangi Mark Hartmann dan Mateo dilihat bakal menjadi perhatian utama peminat berikutan ketumpulan bahagian ini pada musim-musim lepas. Sarawak juga masih tercari-cari penyerang berbisa sejak era John Hunter dan Muamer Salibasic.
PELUANG DI DALAM LIGA SUPER
Untuk mempunyai kedudukan yang baik di Liga Super, pasukan bimbingan David Usop perlu memenangi separuh dari semua perlawanan Liga Super dan ini boleh berlaku jika Sarawak memiliki kubu yang kuat di Stadium Negeri. Malangnya, Stadium Negeri bukanlah kubu kuat lagi, dan pasukan Bujang Senang sering mendapati diri mereka sukar menang di kubu lawan. Oleh yang demikian, kami merasakan adalah lebih realistik jika pasukan yang dibarisi pemain muda ini kekal di Liga Super untuk musim 2018, sambil pemain-pemainnya menimba pengalaman.
KESIMPULAN
Secara asasnya, pasukan Bujang Senang bagi musim 2017 bukan pasukan yang teruk dari segi kualiti, namun dengan ramai pemain muda yang belum biasa bermain bolasepak di peringkat tertinggi Malaysia, kami merasakan pasukan bimbingan David Usop ini akan berhempas pulas di dalam saingan Liga Malaysia. Sungguhpun demikian, jika dibekalkan sedikit nasib, bersama juga dengan disiplin taktikal dan semangat berpasukan yang kuat, pasukan yang mewakili Sarawak ini boleh menjadi pemusnah kepada impian pasukan-pasukan lain yang mungkin memandang enteng kemampuan sebenar pasukan muda ini.
Bagi anda, apakah jangkaan kedudukan realistik pasukan Bujang Senang bagi musim 2017?