Hutang Sarawak FA cukup besar (Pembetulan)

NOTA: Kami telah membaca semula berita akhbar NST yang menjadi sumber kepada berita ini dan membuat beberapa perubahan berkaitan. Artikel sebelum ini telah memetik CEO FML sebagai menamakan pasukan, namun selepas membaca semula artikel tersebut, kami telah membuat perubahan pada artikel yang sewajarnya.

CEO Malaysia Football League (MFL) Kevin Ramalinggam hari ini mendedahkan bahawa pasukan yang mempunyai masalah hutang akan dikenakan tindakan keras.

Menurut laporan New Straits Times, Sarawak FA, bersama pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai jumlah hutang yang cukup besar dan ianya perlu diselesaikan.

Akhbar tersebut telah menyatakan bahawa pasukan Pulau Pinang FA, Melaka United dan Kelantan FA juga mempunyai masalah yang sama.

Ramalinnggam dalam pada itu menyatakan bahawa kegagalan pasukan menyelesaikan isu hutang akan mengakibatkan pasukan dikenakan denda disamping menggangu peluang mereka untuk beraksi di pertandingan anjuran MFL yang mana melibatkan Liga Super, Liga Premier, Piala FA, Piala Malaysia dan Challenge Cup.

Adalah difahamkan semua lima pasukan yang mempunyai masalah hutang itu mempunyai sehingga Januari bagi menyelesaikan masalah kewangan mereka sebelum tindakan disiplin dikenakan oleh MFL..

Masalah kewangan Sarawak FA bukanlah satu masalah asing bagi pasukan tersebut sejak peletakan jawatan mantan presidennya Datu Sudarsono Osman.

Ianya dilihat bertambah meruncing musim ini apabila wujud dakwaan bahawa ada pemain dan pegawai dikhabarkan tidak dibayar sehingga empat bulan.

Jika masalah kewangan Sarawak FA tidak diselesaikan sebelum tarikh pendaftaran pemain bagi musim 2019, ada kemungkinan pasukan yang mewakili Sarawak itu akan diturunkan ke Liga FAM dan menentang pasukan Kuching FA.

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top