Kekalahan Kuching City kelmarin kepada Negeri Sembilan diakibatkan kegagalan pemain Kuching City memberi fokus ketika berlakunya ‘set- piece’.
Kekecewaan tersebut diutarakan oleh ketua jurulatih Kuching City , Irfan Bakti, yang menjelaskan bahawa setakat ini, pasukan beliau didapati kerap bocor ekoran kehilangan fokus semasa pasukan lawan memperolehi sepakan penjuru mahupun sepakan percuma.
Irfan juga menjelaskan beliau tidak kecewa dengan kekalahan kepada Negeri Sembilan, tetapi kecewa dengan cara Negeri Sembilan berjaya membolosi gawang pasukan bimbingannya.
“Kecewa bukan kalah, tetapi kecewa kerana sejak kami main di Pasir Gudang, lima gol kami kena. Semua gol kena set-piece.” kata Irfan selepas perlawanan.
“Pemain telah hilang fokus pada saat penting” tambah Irfan lagi.
Dalam pada itu, Irfan juga mengakui bahawa beliau tahu pemain beliau keletihan kerana terpaksa bermain tiga perlawanan dalam sepuluh hari, dan pasukan beliau kena bangkit untuk terus mencabar kelak.
Kuching City terlepas peluang untuk ke Liga Super selepas tewas kepada Negeri Sembilan kelmarin, dengan kekalahan itu mengesahkan seteru setempatnya, Sarawak United, berjaya ke Liga Super berdasarkan kelebihan pungutan mata.