Perpindahan pasukan belia Sarawak FA ke Miri mengundang seribu satu pertanyaan kepada ramai peminat bola sepak, namun pihak kami percaya ianya mungkin ada kaitan dengan pelantikan Ketua Jurulatih yang baharu untuk pasukan tersebut.
Jika sejarah dijadikan sandaran, FAS telah bertindak memindahkan Pasukan Piala Presiden ke Miri tahun ini tadi kerana Abdul Jalil Hj Ramli dan Pengiran Bala berpangkalan di Miri.
Berdasarkan kes ini, hadir kemungkinan bahawa FAS mungkin bertindak untuk memindahkan pasukan belia Sarawak FA ke Miri agar ianya lebih dekat dengan seorang jurulatih yang amat disegani yang bernama Hakimi Man.
Hakimi Man, atau juga dikenali sebagai Cikgu Hakimi, sememangnya bukanlah nama yang asing di kalangan peminat bola sepak tempatan.
Malahan, nama beliau sering disebut sebagai bakal pengganti Ketua Jurulatih Sarawak FA oleh peminat setiap kali pasukan Bujang Senang tersungkur dan mencari ketua jurulatih baharu.
Populariti Hakimi bukanlah sebarangan kerana beliau sebenarnya antara jurulatih yang amat bijak di dalam mencari bakat-bakat muda seperti Joseph Kalang Tie untuk diketengahkan. Baharu-baharu ini, beliau bukan ‘menemui’ permata bola sepak dalam Gabriel Nistelrooy Ak Tamin yang telah disambar JDT FC pada usia 16 tahun, namun telah turut berjaya menjadikan seorang pemain bola tampar, Rick Lihan Raymond, menjadi penyerang berbisa pasukan Kolej Vokasional Malaysia.
Sejarah kejayaan bola sepak Hakimi juga sukar dpertikaikan apabila beliau telah membawa pasukan bimbingannya, tidak kira di peringkat sekolah, mahupun bahagian, ke pentas kejuaraan.
Paling manis adalah kejayaan pada Piala Tun Sharifah Rodziah pada 2017 yang mana menyaksikan pasukan bimbingan Hakimi (Sarawak) menjulang piala tersebut buat pertama kali dalam sejarah.
Sungguhpun demikian, Hakimi belum memiliki Lesen A, dan oleh yang demikian belum dapat menggalas tanggungjawab sebagai ketua jurulatih Sarawak FA.
Hakimi ketika kami hubungi dahulu, pernah berkata beliau sememangnya mahu mendapatkan Lesen A. Sungguhpun demikian, syarat keperluan untuk membimbing pasukan di peringkat negeri menjadi penghalang untuk cita-cita beliau.
Kini, dengan hakikat Sarawak atau lebih jelas lagi FAS kian memerlukan ‘sentuhan emas’ berlainan, Hakimi dilihat sebagai satu peluang untuk FAS memulakan musim 202 dengan langkah kanan.
Jika andaian kami di SarawakCrocs betul, Hakimi akan diberi tanggungjawab melatih pasukan belia Sarawak 2020, dan ini akan membuka pintu kepada pencarian pemain belia yang lebih baik.
Ini juga secara langsung akan membuka pintu kepada Hakimi memohon dan mendapatkan Lesen A yang beliau idamkan, sekaligus meletakkan beliau sebagai satu calon yang layak untuk dipertimbangkan ke jawatan Ketua Jurulatih Sarawak FA pada musim-musim akan datang.
Adakah andaian kami ini betul? Sama-sama kita nantikan.