Dua – dua pasukan dari Kuching tewas dalam kempen Piala Malaysia mereka malam tadi.
Bakal pasukan Liga Super, Sarawak United, dibelasah pasukan Liga Super, Kuala Lumpur di Stadium Cheras, dengan pasukan tersebut turun tanpa ketua pasukan utama, Taylor Regan di bahagian pertahanan.
Dalam perlawanan itu, Kuala Lumpur jelas mempergunakan kelebihan di laman sendiri dengan menjaringkan gol seawal minit ke-sembilan melalui Ramel Morales.
Dua minit kemudian, Morales kembali menggegarkan jaring Sarawak United dengan satu lagi jaringan.
Pada babak kedua, kealpaan pasukan Sarawak United sekali lagi membawa padah apabila bekas pemain Sarawak FA, J Partiban, menjaringkan gol ketiga pasukan tuan rumah pada minit ke-55.
Seperti juga babak pertama, Kuala Lumpur hanya memerlukan kurang senam minit untuk menambahkan gol kedua babak kedua, dan gol ke-empat Kuala Lumpur.
Kali ini, Ryan Lambert pula menjadi penjaring gol bagi Kuala Lumpur.
Selepas perlawanan, ketua jurulatih Kuala Lumpur, Bojan Hodak, berkata bahawa Sarawak United bermain dengan baik, namun pasukannya mendapat kelebihan selepas menjaringkan gol awal yang sekaligus mengubah rentak perlawanan.
“Keputusan yang cemerlang. Sarawak United telah bermain dengan baik, namun kami berjaya menjaringkan dua gol awal dan ini telah mengubah rentak perlawanan.
“Apabila kami menjaringkan gol ketiga, harapan Sarawak United telah punah dan keputusan ini adalah bagus.” kata Hodak dalam sidang media selepas perlawanan.
Beliau juga merasakan kemenangan yang dicapai merupakan satu pembakar semangat kepada perlawanan – perlawanan Kuala Lumpur akan datang.
“Saya merasakan keputusan ini bagus untuk moral pasukan selepas rehat yang panjang.” jelas Hodak lagi.