Pengurus Liga Malaysia, Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) menjelaskan bahawa semua pasukan yang bertanding di dalam Liga Malaysia dibawah pengurusannya mengetahui bahawa mereka bertanggungjawab sepenuhnya memastikan hanya pemain yang tidak digantung perlawanan diturunkan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam, taklimat berkenaan hal tersebut telah diberikan kepada semua pasukan pada awal musim semasa taklimat pertandingan Liga Malaysia 2016.
Tambah Ramalingam, walaupun komisioner/pegawai perlawanan adalah dibawah penyeliaan FMLLP, mereka tidak boleh bertingdak sehingga terdapat makluman hitam putih daripada bahagian Perundangan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Beliau menjelaskan lagi bahawa disebabakan kekangan tersebut, pegawai perlawanan tidak boleh menentukan samada seseorang pemain tersebut digantung ataupun tidak.
Menariknya, menurut Artikel 37 Kod Disiplin Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), makluman bertulis berkenaan pengantungan pemain hanya satu formaliti, dimana pemain tersebut adalah secara automatik digantung jika syarat penggantungan dipenuhi mengikut Kod Disiplin FAM.
Ini bermakna, jika surat atau makluman berkenaan penggantungan tidak dihantar sekalipun, pemain dan pasukan pemain tersebut harus tahu status beliau sendiri sebelum diturunkan.
Jika kenyataan Ramalingam dan Artikel 37 digunapakai, ini bermakna setiap pasukan Liga Malaysia harus peka terhadap status pemain masing-masing bagi mengelakkan kes seperti Kedah dan kini, Johor DT berulang.