FAS mahukan GLC Sarawak memiliki saham Sarawak United

Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) telah melahirkan keinginannya melihat syarikat – syarikat GLC Sarawak memiliki saham dalam kelab Sarawak United FC.

Hasrat itu dinyatakan oleh Presiden FAS, Posa Majais, yang juga merupakan pemilik bersama Sarawak United bersama FAS.

Syarikat GLC adalah syarikat yang berkait rapat dengan kerajaan, dan dalam kes ini kerajaan Sarawak.

Menurut laporan akhbar Borneo Post, Posa mahukan GLC memegang saham Sarawak United bagi memastikan kedudukan kewangan syarikat tersebut stabil.

Bukan itu sahaja, Posa juga mahukan GLC mengawal kedudukan kewangan kelab tersebut.

“Langkah ini adalah untuk memastikan kedudukan kewangan Sarawak United kukuh” jelas Posa pada sidang media di Pusat Akautik Pandalela.

“Kita juga mahukan GLC Sarawak menguruskan kewangan Sarawak United” tambahnya lagi.

Oleh yang demikian, Posa dilaporkan berharap bahawa kerajaan akan membenarkan GLC Sarawak memegang saham dalam kelab miliknya dan FAS itu.

Laporan Borneo Post menyebut bahawa Posa mengakui bahawa sesebuah GLC boleh memegang sehingga 70 peratus saham kelab tersebut.

Beliau juga mengesahkan FAS sudahpun menghantar surat ke Kerajaan Sarawak agar bantuan akan dihulurkan kepada Sarawak United dalam Liga Malaysia.

“Dalam satu mesyuarat di Mukah, kita telah menulis surat dan memohon kerajaan Sarawak untuk membantu Sarawak United bertanding dalam Liga Malaysia” jelas Posa dalam sidang media yang sama.

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top