Pihak SarawakCrocs.com mendapat maklumat bahawa pihak pengurusan Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) telah menjemput beberapa ketua penyokong Bujang Senang untuk satu perjumpaan esok.
Menurut sumber yang kami percayai, perjumpaan tersebut akan diadakan di salah sebuah hotel terkemuka pada jam 4 petang, dan empat kumpulan penyokong telah bersetuju untuk turut serta.
Pihak kami menghubungi dua daripada empat ketua penyokong tersebut dan dimaklumkan bahawa memang wujud jemputan daripada pihak FAS.
Salah satu kumpulan yang dijemput, Cakoza Troopers (Red Army) mengakui akan turut serta di dalam perjumpaan tersebut, manakala ‘page’ Shoot Sampei Bisak Net Tiang Gol Ya memaklumkan kepada kami bahawa mereka tidak pernah menerima apa-apa jemputan, dan tidak tahu menahu berkenaan perjumpaan itu sehingga dihubungi oleh pihak kami.
Sebelum ini, pihak FAS sudah berjumpa dengan penyokong Sarawak beberapa kali, termasuklah satu perjumpaan sebelum musim bermula yang mana menyaksikan penyokong Bujang Senang bersemuka dengan pemain Sarawak semasa sesi latihan mereka.
Adalah dijangka pihak FAS memohon bantuan dan kerjasama kumpulan penyokong Bujang Senang untuk mengawal keadaan semasa perlawanan berlangsung di Stadium Negeri.