FAM umum 3 langkah dalam Garis Panduan Pelarasan Gaji Liga Malaysia

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) baru sahaja mengumumkan Garis Panduan Pelarasan Gaji FAM.

Menurut kenyataan FAM yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agungnya Stuart Ramalinggam, Garis Panduan Pelarasan Gaji FAM itu adalah untuk mana-mana pasukan atau kelab yang masih gagal mencapai persetujuan bersama selepas tamat tarikh akhir yang ditetapkan pada 22 April 2020.

FAM sebelum ini telah membuat penetapan bahawa semua pasukan diberi tempoh dua minggu, iaitu dari 9 April 2020 hingga 22 April 2020, untuk mencapai persetujuan bersama di antara pemain dan pegawai pasukan masing-masing berhubung status penggajian dalam kontrak.

Stuart menjelaskan bahawa pasukan yang gagal mencapai persetujuan berkenaan kontrak dan pemotongan gaji kini boleh menggunakan Garis Panduan Pelarasan Gaji Liga Malaysia yang dikeluarkan.

Ini adalah keranan FAM mahu kebajikan pemain dan pegawai turut dijaga dan dengan ini mahu memastikan pasukan atau kelab tidak mengambil kesempatan atau peluang di atas kebenaran membuat potongan gaji dengan melakukan pemotongan gaji dengan sewenang-wenangnya.

Jelas Stuart, garis panduan yang dikeluarkan adalah unuk memastikan kestabilan industri bola sepak di Malaysia secara keseluruhan, dan ianya menghormati pekeliling dan garis panduan yang telah dikeluarkan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) pada 7 April 2020 yang meminta ahli-ahli gabungannnya termasuk FAM, mengetuai dan membantu dalam usaha mencari penyelesaian terbaik untuk keluarga bola sepak di negara masing-masing sepanjang penularan pandemik COVID-19 ini.

Garis Panduan Pelarasan Gaji yang dikeluarkan FAM terbahagi kepada 3 langkah secara amnya dimana langkah pertama adalah melibatkan sesi perbincangan diantara pemain dan pegawai pasukan dengan pihak pengurusan pasukan.

Langkah kedua pula menetapkan jumlah potongan yang boleh dilakukan dan bila pemotongan gaji tersebut harus dimulakan dan dihentikan.

Di dalam Langkah 2, FAM telah memecahkan jumlah potongan kepada empat kategori seperti dibawah:

  1. Kategori 1: Gaji RM4,999 dan ke bawah = Pemotongan 10 peratus
  2. Kategori 2: Gaji RM5,000 – RM9,999 = Pemotongan 15 peratus
  3. Kategori 3: Gaji RM10,000 – RM14,999 = Pemotongan 20 peratus
  4. Kategori 4: Gaji RM15,000 dan ke atas = Pemotongan 30 peratus

Langkah 3 garis panduan itu menjelaskan bahawa FAM mempunyai hak untuk menyelaraskan semula kadar peratusan pemotongan gaji yang diberi berdasarkan situasi semasa kewangan membabitkan industri bola sepak pada bila-bila masa.

Ia juga menjelaskan bahawa kontrak pemain dan pegawai pasukan perlu diperbaharui secara automatik sehingga berakhirnya pertandingan musim 2020 ini.

Kenyataan FAM itu menjelaskan bahawa potongan melebihi 30 peratus bagi Kategori 4 dibenarkan dengan syarat ianya dianggap sebagai penangguhan pembayaran dan telah dipersetujui semua pihak terbabit secara muhibah.

FAM dalam pada itu turut mengingatkan bahawa Garis Panduan Pelarasan Gaji Liga Malaysia itu hanya boleh digunapakai pasukan yang tiada masalah pembayaran gaji sehingga bulan Mac 2020.

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top