Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) minggu ini tadi telah secara rasmi mengumumkan pembatalan tiga pertandingan di bawah kelolaannya iaitu Piala Presiden, Piala Belia dan Malaysia Premier Futsal League (MPFL) bagi musim 2020 ini.
Pembatalan pertandingan tersebut sememangnya sudah dijangka ramai ekoran keadaan tidak menentu yang diakibatkan oleh penyebaran COVID-19.
FAM dalam satu kenyataan menjelaskan bahawa garis panduan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membuatkan sukan bola sepak dan futsal tidak dapat dimainkan dimana FAM tidak mahu lagi menunggu atau menangguhkan keputusan berkenaan liga-liga berkenaan kerana ianya akan mempengaruhi pemegang taruh sukan terbabit.
“Tanpa kepastian sama ada tempoh PKPB akan berakhir pada 9 Jun 2020 atau terus dilanjutkan, FAM terpaksa membuat keputusan sekarang dan tidak boleh menunggu atau menangguhkan lagi keputusan ini kerana ia hanya akan menjejaskan kedudukan para pemegang taruh yang terlibat.
“Keputusan ini dibuat selepas FAM melakukan kajian, penelitian dan siri perbincangan dalaman, selain memperhalusi garis panduan dan SOP serta nasihat dan pandangan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terutama berkaitan penganjuran perlawanan Piala Presiden dan Piala Belia di padang terbuka serta larangan aktiviti sukan di kawasan tertutup (indoor) yang mana ia melibatkan perlawanan MPFL.” jelas Setiausaha FAM, Stuart Ramalinggam di dalam satu kenyataan.
Keputusan pembatalan ketiga-tiga pertandingan ini dibuat berdasarkan Artikel 3 Peraturan Pertandingan Piala Presiden dan Piala Belia 2020 serta Artikel 2 Peraturan Pertandingan MPFL 2020.
FAM juga menjelaskan bahawa kesemua keputusan bagi semua liga terbabit adalah dibatalkan dan tiada pasukan yang akan bergelar juara bagi ketiga-tiga pertandingan tersebut.
Badan utama bola sepak Malaysia itu juga memaklumkan bahawa keputusan FAM adalah tidak sama dengan keputusan Malaysia Football League (MFL)yang mana akan membuat permohonan meneruskan baki saingan CIMB Liga Super dan Liga Premier 2020.