Keputusan seri 1 – 1 di antara Sarawak United dan Negeri Sembilan diterima dengan tangan terbuka oleh ketua jurulatih Sarawak United, E. Elavarasan.
Beliau yang ditemui selepas perlawanan menyatakan bahawa perlawanan tersebut boleh berakhir dengan keputusan menang tipis mahupun seri dan ianya ditentukan dengan lima minit terakhir perlawanan.
“Saya rasa kedua – dua pasukan puas hati, bukan satu pasukan sahaja kerana perlawanan ini 50 – 50.” ulas Elavarasan selepas perlawanan.
“Perlawanan boleh berakhir dengan 2 – 1 atau 1 – 1. Saya rasa dalam lima minit terakhir perlawanan, siapa yang akan menjaringkan gol akan memperoleh kemenangan.
“Pada minit – minit terakhir perlawanan, kedua – dua pasukan saling mengambil risiko.”ujarnya lagi.
Dalam pada itu Elavarasan juga menjelaskan bahawa pemain beliau telah memperlahankan sedikit rentak perlawanan selepas berjaya menjaringkan gol awal kerana mereka mahu mempertahankan kelebihan itu.
Sungguhpun demikian, beliau telah meminta pemainnya mengubah strategi pada babak kedua kerana sedar Negeri Sembilan akan cuba mencari gol penyamaan.
“Apabila kita dapat gol awal, pemain secara automatik akan menjaga gol tersebut dan permainan kita akan berkurangan.
“Pada babak kedua, apabila kita keluar sikit, apabila kita bermain, perlawanan tersebut menjadi 50 – 50 jadi perubahan untuk menyerang semakin ketara.
“Kita tahu Negeri Sembilan pun akan mencari jaringan penyamaan. Ianya biasa, jadi kita pun tidak boleh menunggu lama dan terpaksa naik ke atas.” jelasnya lagi.