Dari ‘The Invincibles’ to ‘The Invisibles’

Kata orang Sarawak, “Oh Tedah”…

Itu sahaja yang dapat diungkap oleh peminat bola sepak Sarawak selepas Sarawak FA tewas kepada Kuching FA malam tadi, sekaligus mengesahkan pasukan yang diselia oleh Posa Majais, selaku Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) tersingkir ke Liga M3, liga amatur Malaysia.

Pasukan Sarawak FA yang mendapat gelaran ‘The Invincibles’ kerana memenangi Liga Premier 2013 tanpa kalah, kini akan menjadi pasukan ‘ The Invisible’ mulai tahun 2020 kerana akan menjadi pasukan bertaraf negeri yang pertama di Borneo bermain di Liga Amatur Malaysia.

Prestasi Sarawak FA dilihat telah mula merundum sebaik mantan Presiden FAS, Dato Sudarsono Osman enggan mempertahankan jawatan beliau pada akhir 2016.

DIBANTU KERAJAAN SARAWAK

Sarawak FA yang sering melancarkan musim baharu dengan bergaya dan gah, siap dengan kehadiran menteri, telah diberi pelbagai bantuan dan sokongan oleh Kerajaan Sarawak.

Ini termasuk pemberian geran tahunan bernilai jutaan inggit, dan penggunaan stadium secara percuma bagi tahun 2019.

Bukan setakat bantuan kewangan dan kemudahan, malahan Sarawak FA, menerusi FAS juga diberi sokongan moral oleh pihak Kerajaan Sarawak dengan gambar lawatan exco FAS ke pejabat menteri dan ketua menteri dikongsi di laman-laman sosial rasmi.

Segala bantuan dan sokongan itu walaubagaimanapun seolah-olah tak kemana.

SEMUA SALAH ORANG

Prestasi pasukan Sarawak FA terus longlai di atas padang.

Musim demi musim menyaksikan pasukan Sarawak FA terus tenggelam biarpun pada setiap awal dan akhir musim, FAS mengumumkan dasar baharu berkenaan pasukan.

Disebabkan prestasi longlai Sarawak FA, kehadiran ke stadium oleh peminat mula merundum, dan prestasi Sarawak FA di atas padang semakin tidak penting kepada ramai, sekaligus menyaksikan ramai tidak mengambil kesah berkenaan perkembangan atas padang pasukan tersebut.

Sungguhpun demikian, isu-isu luar padang Sarawak FA pula amat hebat diperkatakan, sekaligus menyaksikan Sarawak FA sering menjadi bualan di media sosial dan berita.

Pada tahun 2017, FAS mendakwa pengurusan lama merupakan antara punca Sarawak FA dibebani hutang banyak dan ini mengakibatkan Sarawak FA tidak dapat membawa masuk pemain terbaik. Ini disusuli dengan dakwaan rasuah, jual perlawanan dan penyelewengan di kalangan ahli FAS lama.

Pada tahun 2018, pengurusan lama FAS dibawah Sudarsono terus dipersalahkan atas masalah FAS, dan pada akhir 2018, laman web SarawakCrocs.com pula disebut sebagai elemen negarif yang menjadi punca bola sepak Sarawak tidak berkembang.

Pada awal tahun 2019, rombakan besar-besaran pada pasukan menyaksikan Sarawak FA mengenakan had perbelanjaan bagi mengawal kewangan pasukan, namun prestasi Sarawak FA terus menyedihkan.

Pada ketika ini, Presiden FAS, Posa Majais telah mengungkit berkenaan ketidakbayaran geran tahunan oleh Malaysia Football League (MFL) dan meminta CEO Kevin Ramalimggam meletak jawatan atas sebab tersebut.

Kini, Sarawak FA telah disingkirkan ke Liga M3, jadi persoalan yang timbul adalah siapakah akan dipersalahkan pula?

BUKAN SALAH PEMAIN

Pemain pasukan Sarawak FA pada musim ini, mahupun pada musim lepas seharusnya tidak boleh dipersalahkan di atas pencapaian Sarawak FA.

Mereka telah memberikan yang terbaik di atas padang biarpun pada hakikatnya hadir pelbagai kesukaran di dalam kehidupan mereka sebagai pemain professional.

Biarpun mereka tidak menyatakan kesukaran mereka ini secara terang, ianya merupakan satu khabar kuat bahawa kebanyakan mereka memiliki masalah kewangan.

Masalah ini diburukkan lagi dengan perubahan pada barisan kejurulatihan yang agak kerap, sekaligus memberikan pemain Sarawak FA, yang rata-rata pemain muda, kurang pengetahuan setara pemain professional.

JADI BAGAIMANA SEKARANG?

Persoalannya adalah apa akan berlaku sekarang?

Dengan Sarawak FA kini akan bermain di liga amatur, adakah pasukan Sarawak FA akan dikekalkan oleh FAS?

Adakah FAS akan berubah? Adakah pihak pengurusan FAS akan berubah?

Apa pun yang mungkin berlaku, hakikat yang sukar diterima adalah Sarawak FA telah menjadi pasukan halimunan di Liga Malaysia dengan tersingkirnya mereka ke Liga M3.

Dengan itu maka lengkaplah perubahan pasukan milik FAS ini dari pasukan the Invincibles kepada pasukan Invisible (halimunan) kerana bermain di Liga Amatur sememangnya akan membuat pasukan tersebut lebih tidak dikenali.

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top