Penduduk di sekitar Miri mungkin akan dapat menyaksikan perlawanan melibatkan pasukan Piala Belia Sarawak United pada sebelah malam ekoran cadangan pihak Kerajaan Sarawak menaik taraf Stadium Miri dengan memasang lampu limpah.
Menurut laporan Utusan Borneo, ‘cadangan memasang lampu limpah di Stadium Miri akan dikemukakan kepada Kementerian Belia dan Sukan Sarawak agar kemudahan di stadium ini dapat digunakan pada perlawanan bola sepak sebelah malam.’
Artikel akhbar tersebut memetik Menteri Pengangkutan, Datuk Lee Kim Shin sebagai berkata bahawa hadir keperluan melengkapkan Stadium Miri dengan kemudahan lampu limpah kerana ianya terletak di pusat bandar raya.
“Apabila ada lampu limpah kita boleh menganjurkan pelbagai aktiviti termasuk mengadakan perlawanan bola sepak pada sebelah malam, setanding dengan kemudahan di bandar-bandar lain,” kata beliau kepada Utusan Borneo.
Pada perlawanan pertama pasukan SUIV Ahad lalu, pasukan bimbingan David Usop itu telah tewas kepada Negeri Sembilan.
SUIV akan meneruskan kempen Piala Belianya dengan bertandang ke Stadium UPM Serdang untuk menentang Kuala Lumpur pada 1 Mac.