Bujang Senang belum ‘masak’ lagi musim ini….

Pasukan Bujang Senang kini menghadapi risiko besar untuk tersingkir dari Liga Super pada penghujung musim ini, dan pihak SarawakCrocs cuba menyelami masalah yang sedang berlaku dengan artikel ini.

Artikel ini adalah berdasarkan pengamatan kami, dan spekulasi pihak kami sahaja, berdasarkan pemerhatian terhadap komen-komen di media sosial, dan juga prestasi terkini bolasepak Sarawak.

SENYUMAN PEMINAT SARAWAK MULA HILANG

Sudarsono, exco fas

Selepas tamat 90-minit perlawanan di antara Sarawak menentang Pahang,  kekecewaan jelas terpampang pada wajah Dato Sudarsono,  Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS).

Beliau bersama ahli-ahli exco FAS telah ‘dihalau’ dari menyaksikan Sarawak bertemu Pahang FC di astaka utama Stadium Negeri dan telah terpaksa menonton perlawanan tersebut di galeri khas akibat sekatan bermain tanpa penonton yang dikenakan ke atas Sarawak.

Sepanjang perlawanan, pihak SarawakCrocs yang duduk tidak jauh daripada Sudarsono menyaksikan bagaimana Sudarsono kelihatan optimis pasukan di bawah jagaannya itu mampu memberikan kemenangan yang didambakannya, dan ribuan peminat bolasepak Sarawak yang tidak dapat ke stadium hari itu.

Oleh itu,  adalah tidak menghairankan apabila gol pertama Sarawak dalam perlawanan tersebut disambut penuh gembira oleh semua warga Sarawak yang bekerja di stadium malam itu, dan Sudarsono tidak terkecuali.

Sungguhpun demikian, senyuman di bibir Sudarsono pantas bertukar menjadi cerita duka apabila Pahang menyamakan kedudukan, dan keputusan seri yang terus kekal sehingga tamat perlawanan, menyaksikan Sudarsono menggelangkan kepala sambil tunduk mengadap lantai.

HARAPAN DAN IMPIAN SAMA DENGAN PEMINAT

Sarawak fans 2016
Selaku presiden FAS, tugas Sudarsono nyata bukan mudah, namun ramai yang tidak tahu, atau enggan mengakuinya. Beliau bukan sahaja pengemudi hala tuju bolasepak Sarawak, namun turut merupakan sasaran utama apabila pasukan bolasepak Sarawak mula tampak goyah seperti kini.

Dalam satu temuramah bersama kami pada penghujung 2013, Sudarsono memaklumkan bahawa beliau optimis berkenaan masa depan bolasepak Sarawak.  Beliau mengakui Sarawak pada masa itumasih perlukan banyak perubahan, dan beliau akui pengambilan tenaga import dari negara luar adalah amat sukar.

Daripada temubual kami bersama Sudarsono, beliau jelas akan visinya untuk bolasepak Sarawak, yakni mahukan lebih banyak pemain anak Sarawak bermain dan mewakili pasukan Sarawak.  Beliau juga melihat ke arah Sarawak memiliki stadium sendiri, walaupun mengakui dana untuk berbuat demikian tidak ada buat masa ini.

Dalam pada itu, Sudarsono telah memilih untuk menggunakan slogan “The battle continues” pada musim 2014, yang mana kami rasakan merupakan slogan yang kurang bermaya, khususnya bagi pasukan yang baru sahaja memenangi Liga Premier tanpa kalah sekali pun.

Walaubagaimanapun, temubual dengan Sudarsono menjelaskan segalanya kerana slogan tersebut adalah untuk pasukan Sarawak masa hadapan, dan bukan kini.  Ia adalah untuk pasukan yang sedang dibina, dan bukan juara musim 2013.

BERGELUT DI LIGA SUPER

Defenders Sarawak
Kini, selepas tiga tahun, Sarawak kini sudah tersingkir daripada Piala FA dan bergelut di tangga terbawah Liga Super.  Situasi kini diburukkan lagi dengan hakikat Sarawak mungkin gagal melayakkan diri ke Piala Malaysia yang mengenakan format baru musim ini.

Dengan pengetahuan demikan, tekanan sudah pasti terasa oleh Sudarsono dan rakan seangkatannya, dan ini dapat dilihat dengan kekecewaan beliau semasa Sarawak sekadar seri di Stadium Negeri sepuluh hari yang lepas.

Bukan sahaja prestasi Sarawak yang menjadi dalang tekanan tersebut, malahan tekanan daripada peminat tempatan semakin memuncak dengan segelintir memberikan amaran bahawa ‘sesuatu akan berlaku atau dilakukan’ oleh mereka jika Sarawak terus gagal mengubah nasib.

Rata-rata peminat dilihat menunding jari ke FAS apabila Sarawak semakin parah di Liga Malaysia, dan dengan beberapa ‘batu api’ giat memesongkan fakta di media sosial, maka semakin besarlah tekanan yang dihadapi oleh FAS apabila Sarawak gagal mengutip mata penuh. Tidak cukup dengan itu, ada pihak turut mengapi-apikan khabar angin bahawa wujud penyelewengan di kalangan pegawai FAS yang sudah pasti menyebabkan peminat bolasepak Sarawak semakin marah.

Kegemilangan pasukan Bujang Senang pada musim 2013 seolah-oleh tidak pernah wujud, dan FAS dipersalahkan sepenuhnya di atas kegagalan mengambil pemain import yang berkaliber, kekurangan pemain anak Sarawak di dalam pasukan, dan kejatuhan pasukan bolasepak Sarawak di segenap lapisan pertandingan.

PERUBAHAN POSITIF DISEBALIK KEKALAHAN

K Rajagobal and team
Hakikatnya adalah, tiada seorang suka kalah, dan kami pasti ianya adalah sama untuk Sudarsono, ahli exco FAS dan pemain-pemain Bujang Senang.

Ramai kini mempertikaikan pengambilan K Rajagobal sebagai jurulatih Sarawak, namun yang menariknya, mereka jugalah yang bersorak gembira apabila Robert Alberts di pecat, dan Rajagobal diambil sebagi pengganti.

Kumpulan sama kini turut gah mempertikaikan semua pemain import yang dibawa masuk, walaupun mereka jugalah yang bersorak apabila FAS memilih untuk mengambil pemain yang terbukti berkesan di Liga Malaysia seperti Gilmar dan Ndumba Makeche.

Yang dilihat kini hanyalah kekalahan demi kekalahan, namun ramai yang tidak mahu mengakui bahawa pasukan Sarawak kini sedang dalam proses membina pasukan anak jati Sarawak, seperti yang diimpikan oleh Sudarsono dan ramai peminat bolasepak Sarawak.

Jika diamati, polisi Rajagobal amat berbeza dengan Robert, yang mana Robert hanya menagih kemenangan tanpa banyak mempedulikan pembangunan pemain anak watan Sarawak di dalam pasukan utamanya. Ini dibuktikan dengan kegagalan Robert mengetengahkan walau satu pun pemain anak watan Sarawak selepas empat tahun menjadi jurulatih Sarawak.  Kesemua pemain anak watan Sarawak yang bermain di bawah Robert adalah bekas peninggalan bekas jurulatih Sarawak sebelum era Roberts, yaitu Haji Mohd Zaki Sheikh Ahmad. Ini bermaksud, Sarawak kehilangan empat tahun bakat muda di bawah Robert.

Rajagobal pula dalam masa kurang setahun, telah memilih beberapa anak Sarawak dari pasukan Piala Presiden sebagai pemain kesebelasan utamanya, termasuklah Nur Shamie dan Tommy Mawat.  Ini tidak termasuk pemain-pemain lain seperti Florian Rison, Shreen Tambi, Alif Hassandan Hafis Saperi yang turut diserap dan disenaraikan sebagai pemain pasukan senior.

LIGA PREMIER SATU KEMUNGKINAN

Sarawak FA Champs 1145
Pada pengamatan SarawakCrocs, jika polisi pemilihan pemain oleh Rajagobal diteruskan, Sarawak berkemungkinan akan turun ke Liga Premier musim hadapan kerana tenaga muda Sarawak memerlukan masa untuk mematangkan diri, dan kecederaan beberapa pemain utama seperti Ronny Harun dan K Gurusamy akan memaksa Sarawak terus bermain dengan pemain kurang berpengalaman.

Namun demikian, kami berpendapat Sarawak akan mampu bangkit semula dengan lebih ramai anak jati Sarawak bermain untuk Sarawak dalam masa terdekat (dua-tiga tahun). Buat tahun ini, peminat kena akur bahawa Sarawak belum bersedia untuk bertarung untuk kejayaan.

Kuncinya kini adalah untuk memberi peluang dan ruang untuk Sudarsono dan pasukan Sarawak untuk berjuang, dan belajar untuk fokus ke arah kejayaan. Mereka perlukan sokongan di kala keputusan belum menyebelahi mereka, dan pemain-pemain muda Sarawak perlu diberi dorongan untuk terus berjaya.

Bukan kami di SarawakCrocs suka akan kekalahan dan keputusan kini, namun kami percaya, segala tenaga dan harapan lebih baik diberikan kepada memberi kata-kata yang membina, daripada mencaci-cela tanpa usul periksa.

Sarawak Selamanya!

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top