Peminat setia Sarawak telah bertindak memulakan petisyen bagi menggesa Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) memperketatkan kawalan di Stadium Negeri semasa perlawanan bolasepak yang melibatkan Sarawak.
Petisyen tersebut dalam pada lain mahu FAS menukar strategi kawalan di stadium yang kini dianggap terlalu longgar.
Menurut petisyen tersebut, peminat Sarawak mahu FAS meletakkan pihak keselamatan di kalangan peminat yang hadir, dan bukannya di trek larian seperti kebiasaannya.
Ianya juga turut menggesa pihak berkuasa berani membuat tangkapan terhadap individu yang membuat salah, khususnya bermain mercun, dan sekaligus membantu mengurangkan dan menghentikan tindakan melulu sebahagian pengokong yang bertindak membakar mercun, dan membuang objek ke kawasan padang.
Petisyen tersebut juga menuntut pihak keselamatan di bawah tangungjawab FAS mempergiatkan rondaan di sekitar kawasan stadium sebelum, semasa dan selepas perlawanan kerana telah berlaku beberapa kes pecah kereta semasa perlawanan membabitkan Sarawak dan Perak malam kelmarin.
Kempen Bola Tanpa Mercun yag dilancarkan pada 1 September 2013 didapati telah mula mendapat perhatian pelbagai pihak, termasuk FAS yang sebelum ini juga turut menyatakan sokongan terhadap kempen tersebut.
Sungguhpun wujud kesedaran tentang kempen tersebut, masih wujud beberapa letupan di stadium ketika perlawanan Sarawak dan Perak, yang mana ramai peminat yang hadir melahirkan kekecewaan terhadap kelonggaran aspek keselamatan yang dilihat.
Seorang peminat yang hanya ingin dikenali sebagai Awang Ali menyatakan “Memang tidak dinafikan kehadiran pihak keselamatan semakin banyak, namun kebanyakan mereka sibuk melihat perlawanan, dan hanya mampu memerhati dari jauh apabila berlaku apa-apa insiden”.
Bagi yang ingin menandatangani petisyen ini, sila ke PAUTAN INI.