‘MESIN jaringan’ Sarawak, Bobby Gonzalez berharap akan terus meledakkan jaringan selepas ini untuk membantu Sarawak naik semula ke Liga Super musim depan.
Petang Jumaat lalu menyaksikan Bobby meledakkan empat gol untuk membantu Sarawak menang 5-3 ke atas skuad UiTM dalam aksi di Stadium UiTM. Ia merupakan jaringan ke-10 Bobby dalam Liga Perdana setakat ini.
Bobby menjaringkan gol pada minit ke-18, 22, 42 dan 79, manakala satu lagi gol dijaringkan oleh Zamri Mosrhidi pada minit ke-74. “Syukur kerana saya menemui semula sentuhan jaringan. Bagi saya apa yang lebih penting ialah jaringan itu memberikan tiga mata kepada Sarawak… itu yang lebih penting daripada jumlah jaringan,” jelas Bobby.
“Sebagai penyerang memang tugas saya untuk menjaringkan gol… namun ia juga adalah usaha rakan-rakan yang lain yang banyak membantu,” katanya. Sementara itu, jurulatih Sarawak, Robert Alberts melontarkan pujian terhadap Bobby.
“Ia merupakan jaringan yang cukup besar baginya… dan saya berharap ia akan mencetuskan semangat untuknya terus menggegar selepas ini,” ujar Alberts. Bagaimanapun, Alberts agak kecewa apabila anak-anak buahnya dibolosi tiga gol pada babak-baka akhir permainan.
“Walau apapun apa yang lebih penting ialah tiga mata. Yang pasti kami kini kekal stabil di tangga kedua dan terus bersaing,” kata Alberts.
Alberts turut memuji kehebatan pemain baharu Junior Eldstal yang dianggapnya menunjukkan potensi hebat. “Eldstal beraksi dalam senarai utama dan dia bermain cemerlang dengan banyak melakukan umpanan ke arah serangan… malah beliau banyak memberi sumbangan,” katanya.
Sementara itu, bintang import baharu, Muamer Silabsic tidak beraksi ekoran mengalami masalah “hamstring”. Sarawak akan turun menentang Putrajaya FC di Kuching Jumaat nanti (3 Mei). Sarawak dijangka akan meraih tiga lagi mata.
Sumber: Utusan Sarawak