’MESIN jaringan’ Sarawak, Bobby Gonzalez, 28, bersiap sedia untuk meledakkan gol ke- 12nya apabila turun menentang pendahulu liga, Sime Darby dalam aksi genting di Stadium Negeri, Petra Jaya Kuching Jumaat ini.
Bobby, pemain kelahiran Beufort, Kota Kinabalu muncul wira Sarawak ketika membenam Putrajay FC 2-1 di Kuching Jumaat lalu. “Saya berharap sentuhan jaringan saya akan berterusan… lebih-lebih lagi apabila turun menentang Sime Darby Jumaat nanti,” ujar Bobby.
“Bagi saya… jaringan adalah perkara kedua, tetapi apa yang lebih penting ialah jaringan tersebut mampu membantu Sarawak menang, itu yang lebih penting,” jelasnya. Menurut Bobby, Sime Darby bukanlah calang-calang pasukan dan mereka perlu berhati-hati.
Sarawak berjaya menyekat Sime Darby 1-1 dalam aksi pusingan pertama di Selayang pada 21 Januari lalu. “Apabila menentang pasukan hebat seperti Sime Daby kami tidak boleh melakukan kesilapan mudah… dan pada masa yang sama kami juga harus bijak memanfaatkan peluang,” ujar Bobby.
Bobby merupakan penjaring terbanyak Sarawak ketika kempen Liga Perdana 2011 sehingga membantu Sarawak naik ke Liga Super 2012. Namun malangnya Bobby tidak bersama Sarawak pada 2012… menyebabkan Sarawak kehilangan penjaring. Sarawak akhirnya turun semula ke Liga Perdana 2013.
Jadi kehadiran semula Bobby kali ini amat penting dalam usaha Sarawak untuk naik semula ke Liga Super 2014. Sementara itu, jurulatih Sarawak, Robert Alberts akan menurunkan barisan terbaiknya Jumaat ini, termasuk dua import ternama, Muamer Salibasic dan Guy Bwele.
Alberts menggesa anak-anak buahnya agar meningkatkan prestasi jika mahu mengalahkan Sime Darby. “Kami tidak boleh bermain seperti ketika menentang Putrajaya apabila turun menentang Sime Darby Jumaat ini.
“Pemain harus bijak memanfaatkan peluang dan tidak melakukan kesilapan yang boleh mengundang padah,” kata Alberts.
Sumber: Utusan Sarawak