ASTRO boleh meriahkan lagi Liga Malaysia

Kehadiran Astro sebagai penyiar rasmi pertandingan Liga Malaysia 2023 dijangka mampu meletakkan kemeriahan Liga Malaysia berada di tahap kemuncak dengan liputan yang lebih menyeluruh.

Pemerhati dan penganalisis sukan tanah air, Rizal Hashim berkata, langkah Malaysian Football League (MFL) memilih Astro adalah sesuatu yang tepat berdasarkan kualiti dimiliki badan penyiar itu dalam membawa siaran langsung yang melibatkan acara sukan.

Tambah Rizal, situasi itu secara tidak langsung dapt menaikkan prestij bola sepak tempatan di kaca mata peminat terutama membabitkan Liga Malaysia.

Dalam masa sama, beliau turut menyambut positif pengekalan RTM sebagai satu lagi rakan penyiar Liga Malaysia sepertimana musim-musim sebelum ini.

” Astro kembali sebagai hos penyiar mengembalikan senario 2011-2014 apabila rangkaian sukan itu merancakkan dan menaikkan profil bola sepak tempatan dengan menyiarkan perlawanan liga dan piala.

” Walaupun sebelum ini peminat boleh menyaksikan perlawanan secara langsung menerusi platform OTT, dengan adanya siaran di Astro dan free-to-air di RTM, liputan perlawanan dijangka boleh memuaskan hati penonton serta jadual perlawanan yang diatur lebih tersusun.

” Apatah lagi peminat bola sepak tempatan meletakkan piawaian penyiaran yang tinggi disebabkan mereka didedahkan dengan corak liputan penyiar luar negara, khususnya Piala Dunia FIFA di Qatar baru-baru ini,” katanya.

Pada Selasa, Astro dan MFL secara rasmi mengumumkan kolaborasi selama tiga tahun bermula 2023 hingga 2025 sebagai penyiar rasmi untuk semua pertandingan Liga Malaysia meliputi Perlawanan Sumbangsih (Piala Sultan Haji Ahmad Shah), Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.

Manakala RTM akan menyiarkan secara langsung 75 perlawanan Liga Malaysia 2023 dengab semua perlawanan boleh disaksikan di saluran TV2, Sukan RTM dan TV Okey serta penstriman langsung melalui aplikasi RTM/klik.

Nada positif juga disuarakan penganalisis bola sepak tanah air, Mohd. Azraai Khor Abdullah, yang mengakui pengalaman semasa Astro menjadi penyiar rasmi telah meletakkan tahap kemeriahan Liga Malaysia pada waktu tersebut di aras berbeza.

” Semasa saya pernah menjadi jurulatih di beberapa pasukan lain dalam tempoh Astro menjadi penyiar rasmi, saya akui publisiti Liga Malaysia pada waktu berkenaan sangat meluas dan boleh dirasai semua pihak.

” Bukan sekadar mutu siaran langsung tetapi banyak program yang mengupas dan membincangkan mengenai Liga Malaysia turut disiarkan di Astro.

” Malah saya lihat sebahagian besar peminat menyambut positif Astro menjadi penyiar rasmi serta tidak ketinggalan RTM, saya rasa ini keputusan yang positif dari MFL,” katanya. – MFL

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top