Apa pendapat awam mengenai Kuching City?

Setelah Liga Premier berlangsung sebanyak empat perlawanan, aksi pasukan Kuching City dilihat mula mencuri tumpuan.

Pasukan kerdil dari Kuching ini dilihat telah berubah dari corak permainan mereka musim lepas, dengan pasukan itu kini nampaknya lebih kemas apabila bermain.

Oleh itu, kami telah berjumpa dengan beberapa peminat bola sepak tempatan, serta membuat pemerhatian berdasarkan komen – komen berkaitan pasukan Kuching City di media sosial, dan ini merupakan kesimpulan komen yang dikumpulkan.

Sentuhan pendek yang memikat

Dalam pada itu, kami juga bertanya kepada beberapa peminat tempatan berkenaan komen mereka tentang prestasi permainan Kuching City secara umumnya.

Rata – rata mereka menyukai corak permainan kemas pasukan tersebut yang kini dilihat banyak mengadaptasikan hantaran – hantaran pendek.

Kawalan bola di kalangan pemain bola sepak Kuching City juga dilihat telah meningkat, dan ada yang membandingkan corak permaianan Kuching City dengan gergasi – gergasi bola sepak dunia (walaupun kami tidak berapa bersetuju dengan pendapat ini buat masa ini).

Hakikatnya, ramai yang berpandangan positif terhadap corak dan cara Kuching City bermain di bawah Irfan Bakti, dan mereka merasakan jika Kuching City meneruskan corak permainan sebegini, mereka mudah untuk terus menyokong kelab tersebut.

Perlukan penyerang

Apabila kami bertanya tentang kekurangan pasukan Kuching City, dua elemen disebut ramai, yakni keperluan memiliki seorang penyerang lebih berbisa, dan keperluan mencari pemain lebih muda.

Ramai di antara peminat bola sepak merasakan Kuching City tidak akan dapat memenangi kebanyakan perlawananan mereka sekiranya masalah ketumpulan jentera serangan tidak dapat diatasi.

Menurut peminat, jentera serangan Kuching City terlalu tertumpu kepada Joseph Kalang Tie, sekaligus menyaksikan beliau mempunyai beban terlalu besar apabila bermain di atas padang.

Peminat juga merasakan bahawa penyerang import Kuching City belum lagi menunjukkan taring sebenar mereka sehingga kini.

Rata – rata mengakui bahawa permainan cantik sekalipun, bilangan gol yang akan menentukan kemajuan pasukan tersebut.  Oleh itu, peminat menuntut bahagian serangan Kuching City diperbaiki segega.

Dalam perkembangan sama, corak taktikal Irfan Bakti yang cuba mengawal bola sepanjang perlawanan dilihat mudah memenatkan pemain Kuching City yang rata – rata berumur.

Peminat walaubagaimanapun tidak merasakan corak taktikal Irfan diubah, tetapi mahukan pemain Kuching City memperbaiki kadar kecergasan mereka.

Peminat juga merasakan Kuching City perlu mula bijak mencari pemain – pemain muda, serta memberi mereka lebih banyak pendedahan bermain di peringkat tertinggi kerana merasakan pasukan ini akan menghadapi masalah sekiranya berjaya naik ke Liga Super musim hadapan di mana intensiti perlawanan adalah lebih tinggi.

Kesimpulan

Secara umumnya, peminat dilihat berpuas hati dengan prestasi Kuching City biarpun kelab terebut kini hanya memiliki satu kemenangan.

Ramai merasakan kelab tersebut kini berada di landasan betul untuk menjadi salah satu kuasa besar bola sepak Malaysia.

Adalah diharap bahawa pemain dan pegawai Kuching City akan terus berusaha dan membawa nama Sarawak dalam arena bola sepak ke peringkat lebih tinggi.

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top