JURULATIH Sarawak, Robert Alberts memberi amaran kepada anak-anak buahnya agar bangkit segera daripada prestasi hambar sebelum aksi menentang pendahulu liga Sime Darby di Kuching Jumaat nanti (10 Mei).
Walaupun menang 2-1 ke atas Putrajaya FC dalam aksi di Stadium Negeri malam kelmarin, namun Alberts membuat kesimpulan bahawa anak-anak buahnya gagal menunjukkan permainan yang diharap-harapkan.
Malah katanya, Sarawak sebenarnya boleh kalah dalam perlawanan tersebut kerana gagal mencipta peluang yang secukupnya. “Jika para pemain terus bermain macam ini… maka Sarawak tidak akan mampu mengalahkan Sime Darby Jumaat nanti,” tegas Alberts.
“Para pemain gagal mencipta peluang secukupnya,” jelasnya. “Malah setiap gerakan juga mudah dipatahkan. Lebih memburukkan keadaan pemain juga kelihatan kurang sifat untuk bertahan,” ujarnya.
“Kurangnya motivasi di bahagian serangan dan saya tidak dapat melihat kombinasi yang bagus,” jelas Alberts. Dalam perlawanan malam kelmarin menyaksikan Sarawak beraksi hambar sepanjang babak pertama menyebabkan pasukan pelawat mendahului pada minit ke-42 menerusi Joel Armel Tchami.
Namun Sarawak bangkit pada babak kedua melalui jaringan Guy Bwele menerusi sepakan bebas pada minit ke-56 dan gol kemenangan menerusi Bobby Gonzales pada minit ke-69. “Saya tidak terkejut apabila kami ketinggalan 1-0 pada babak pertama.
Jika kami bermain seperti itu pada babak pertama ketika menentang Sime Darby Jumaat nanti… maka kami tidak akan mampu menang,” jelas Alberts. Sementara itu, perlawanan Pos Malaysia-Sarawak yang sepatutnya berlangsung petang esok di Stadium Selayang ditunda pada satu tarikh baharu.
Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Mohamad Abu Bakar Marzuki menyatakan mereka telah menerima surat pekeliling berkenaan hal tersebut daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Dengan penundaan tarikh tersebut, maka ia memberi peluang terbaik buat Sarawak untuk memperkemaskan semula barisan sebelum aksi ‘penentu juara’ menentang Sime Darby di Kuching Jumaat nanti (10 Mei).
Sumber: Utusan Sarawak