Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa percaya pasukan tempatan bakal mendapat tempias besar selepas kehadiran Telekom Malaysia (TM) dan CIMB muncul menjadi penaja dalam Liga Malaysia bagi musim 2020.

Kejayaan badan pentadbir liga, Malaysian Football League (MFL) mendapatkan kepercayaan syarikat-syarikat besar untuk bekerjasama dengan mereka bakal membuka lebih banyak peluang kepada pasukan untuk mendapatkan penaja lain.

// IKUTI KAMI DI INSTAGRAM WWW.INSTAGRAM.COM/SARAWAKCROCS UNTUK BERITA BOLA SEPAK MALAYSIA DAN SARAWAK RINGKAS

SarawakCrocs Tribal Jersey 2020

>>Dapatkan jersi rasmi Sarawak United 2020 dan SarawakCrocs Tribal jersey kini di TheKedey.com.

Ini kerana, Nokman sedar tidak semua pasukan atau kelab mampu mencari ramai penaja sebelum ini dan semestinya kini, mereka akan lebih mudah mendekati syarikat korporat lain selepas profil Liga Malaysia meningkat dengan kehadiran TM dan CIMB.

“Selalunya apabila ada penaja daripada syarikat-syarikat besar yang terlibat dengan MFL, secara tidak langsung memberi tempias yang baik untuk pasukan juga.

“Kerana ada sesetengah kelab dan pasukan ini ketandusan penaja, jadi dengan adanya TM dan CIMB yang menjadi penaja MFL setakat ini, saya percaya akan ada juga penaja lain yang berminat bantu pasukan.

“Ini kerana, dengan kewangan yang stabil, saya yakin prestasi pemain dan pasukan akan bertambah baik sepanjang musim”, jelasnya.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Dr Johan Kamal Hamidon pula menganggap sudah tiba masa untuk semua pihak fokus kepada usaha memastikan Liga Malaysia lebih rancak dan menarik daripada terus mengaitkan isu jumlah penajaan yang tidak didedahkan.

FAS sendiri teruja dengan kehadiran dua penaja terbabit dan percaya tahap kemeriahan Liga Malaysia pada musim ini akan lebih meningkat sekali gus menaikkan lagi imej bola sepak tempatan pada masa akan datang.

Jelas Johan, bukan senang untuk sesebuah liga mendapatkan penaja terbaik apatah lagi sebelum ini MFL berdepan banyak kekangan untuk menamatkan musim 2019 dan adanya TM dan CIMB sebagai penaja ibarat memberi petanda cerah untuk memulakan musim 2020 dengan baik.

“Bagi kami di FAS, CIMB telah mengambil langkah yang sangat penting untuk sukan bolasepak dan ternyata, mereka inginkan jenama CIMB ini terus berkembang bersama bolasepak Malaysia.

“Memang MFL dan barisan penaja tidak mendedahkan jumlah sebenar tajaan kepada semua pihak, tapi untuk kami sebagai rakan kongsi, kami tidak berminat untuk jadikan ia sebagai isu kerana yang penting, kami dimaklumkan mengenai jumlah terbabit.

“Berapa pun jumlahnya, kita patut lihat daripada aspek positif kerana apabila saingan liga semakin membangun, jumlah sesebuah tajaan itu pasti akan meningkat dan saya lebih berminat untuk tahu bagaimana pasukan dan MFL sendiri berusaha untuk Liga Malaysia lebih rancak dan menarik,” katanya.

Terdahulu, CIMB Group Holdings Berhad atau Kumpulan CIMB telah menandatangani perjanjian penajaan dengan Malaysian Football League (MFL) sebagai penaja utama bagi saingan liga elit tempatan, iaitu CIMB Liga Super serta perlawanan pembuka tirai, CIMB Piala Sumbangsih.

CIMB juga menjadi Bank Rasmi untuk Liga Malaysia termasuk Piala Sumbangsih, Liga Super, Liga Premier, Piala FA, Piala Malaysia dan Challenge Cup.