Gabor Gyepes adalah nama yang tidak asing lagi di bibir peminat bola sepak Sarawak.

Beliau merupakan pemain pertahanan, yang juga merupakan pemain import pertama Sarawak FA dari Hungary.

Pemain pertahanan yang dibawa masuk pada December 2013 oleh jurulatih Sarawak FA pada ketika itu, Robert Alberts, menyinar bukan sahaja sebagai pemain pertahanan, tetapi sebagai penjaring gol.

Kehebatan Gyepes yang pernah bermain untuk Portsmouth dan Cardiff City, terserlah apabila beliau membantu pasukan Sarawak FA di dalam Liga Super dan telah acap kali mengelakkan Sarawak FA dibelasah pasukan lawan.

Beliau memulakan ‘debut’ beliau bersama Sarawak FA dengan baik, namun benar – benar menyinar pada perlawanan kedua beliau bersama pasukan Sarawak.

Di dalam perlawanan tersebut, Gyepes menjaringkan gol kemenangan Sarawak FA, sekaligus melayakkan Sarawak FA ke pusingan seterusnya di Piala FA 2014.

Gyepes kemudiannya menunjukkan taring di bahagian pertahanan apabila beliau membantu Sarawak FA mendapat enam cleensheet di dalam Liga Super selepas itu.  Pada musim sama, Sarawak FA hanya bolos 31 gol dari 22 perlawanan.

Sungguhpun Gyepes gagal membantu Sarawak dari memenangi Liga Super, kehadiran Gyepes di bahagian pertahanan memberikan keyakinan kepada pemain dan peminat.

Keupayaan beliau sebagai pemain pertahanan telah dicontohi oleh pemain – pemain lain seperti Hairol Mokhtar, Ramesh Lai dan Ronny Harun, sekaligus membuatkan bek pasukan Sarawak FA amat ‘keras’ untuk dipecahkan pasukan lawan.

Di mata peminat, Gyepes dilihat sebagai seorang yang amat rajin di atas padang dan beliau juga amat ramah dan mesra dengan peminat tempatan.

Pada tahun 2015, Gyepes telah mengalami kecederaan kecil, namun beliau telah digugurkan oleh pihak Sarawak FA, yang pada asalnya telah menawarkan beliau kontrak.

Gyepes telah membawa penyingkiran beliau ke FIFA dan dikhabarkan memenangi kes tersebut.

Beliau kemudiannya menyertai pasukan Soroksár SC di Hungary dan telah menjaringkan 14 gol untuk kelab tersebut sebelum memutuskan untuk bersara.

Kini beliau telah membuka restoran bernama DG Terrace Cafe di Hungary dan meluangkan lebih masa dengan keluarga.