Pasukan Liga Premier Kuching FA disahkan sebagai pasukan tunggal yang sudah lulus dan boleh berlatih untuk penyambungan Liga Malaysia kelak dari Malaysia Borneo.

Menurut kenyataan Malaysian Football League (MFL) hari ini, pasukan Kuching FA adalah antara 16 pasukan Liga Malaysia yang sudah mendapat kelulusan untuk mengadakan sesi latihan bagi fasa 1.

Pasukan dari Malaysia Borneo lain seperti Sabah FA dan Sarawak United disahkan oleh badan tersebut sebagai belum menghantar borang permohonan untuk memulakan sesi latihan bagi fasa 1.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan memuji pasukan – pasukan yang telah lulus permohonan untuk memulakan sesi latihan dengan berkata bahawa latihan fasa 1 akan menjadi penanda aras penting kepada buat pasukan sebelum pengendali liga tempatan itu melanjutkan proses kepada fasa 2.

Katanya, proses kepada fasa 2 akan menjadi lebih cerah jika kesemua pasukan patuh serta disiplin mengikuti SOP ketika menjalani sesi latihan dalam fasa 1 selain situasi penularan pandemik COVID-19 di negara yang dilihat semakin pulih.

Lebih tepat, ia turut mencerahkan peluang untuk memulakan kempen Liga Malaysia lebih awal di mana perancangan sebelum ini menyambung kembali aksi domestik pada September ini.

“Latihan fasa 1 bakal menjadi penanda aras penting buat pasukan sebelum pengendali liga tempatan itu melanjutkan proses kepada fasa 2.

“Saya turut melihat setiap pasukan telah mematuhi SOP yang telah ditetapkan iaitu perlu mematuhi penjarakkan sosial di mana sekurang-kurangnya 3-5 meter untuk aktiviti dinamik seperti latihan bola sepak.

“Saya berharap kesemua pasukan yang telah memberikan kerjasama penuh ini dapat memastikan perubahan fasa sesi latihan ini kepada fasa 2 dapat dilaksanakan dengan lebih cepat,” katanya.

Untuk diluluskan permohonan mengadakan sesi latihan, pasukan perlu melengkapkan dokumen iaitu laporan keputusan ujian calitan ‘swab test’, venue latihan berdaftar dan sudah melalui proses nyahkuman atau sanitasi, surat pengesahan ujian saringan oleh doktor pasukan serta melantik pegawai penyelaras.

Sebelum ini, Malaysian Football League (MFL) merancang meneruskan pertandingan CIMB Liga Super, Liga Premier pada 1-2 September 2020 dan akan berakhir pada 26-27 September 2020 dengan saingan secara separuh liga sahaja manakala TM Piala Malaysia pula akan berlangsung pada 17-18 Oktober 2020 hingga 7 November sementara Shopee Piala FA dan Challenge Cup dibatalkan.

Tiga wakil CIMB Liga Super, Pahang FC, PDRM FA dan Sabah FA, dan empat pasukan Liga Premier iaitu Kelantan FA, Kelantan United FC, UKM FC dan Sarawak United FC masing-masing masih belum menghantar permohonan untuk sesi latihan fasa 1.

Ini kerana pasukan-pasukan yang di dalam proses melengkapkan permohonan masih di dalam proses menunggu keputusan ujian ‘swab test’.

Selain Kuching FA, pasukan-pasukan Liga Malaysia yang sudah lulus permohonan adalah UiTM FC, Selangor, Johor Darul Ta’zim (JDT), Terengganu FC (TFC), Perak, Melaka, Felda United FC, Kedah FA, Negeri Sembilan, Selangor 2, JDT II, TFC II, Pulau Pinang, Perak II dan Kuala Lumpur.