Bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan Datuk K. Rajagobal dilaporkan mahukan Piala FA dijadikan ‘korban’ akibat penangguhan Liga Malaysia pada musim ini.

Jurulatih berpengalaman itu dipetik Bernama sebagai berkata bahawa beliau lebih suka jika Piala FA dikorbankan dan Piala Malaysia diteruskan.

Komen beliau hadir susulan cadangan yang semakin kuat agar satu piala ditangguhkan buat musim ini ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini dilanjutkan sehingga 14 April oleh Kerajaan Malaysia.

“Mungkin MFL boleh korbankan Piala FA untuk Piala Malaysia, kerana bagi saya Piala Malaysia ada nilai sejarah dan tradisi tersendiri,” kata Rajagobal kepada Bernama.

“Debaran perlawanan akhir Piala Malaysia sentiasa memuncak setiap tahun, dan keghairahan penyokong terhadap pertandingan ini, tidak boleh dinafikan.

“Tetapi Piala FA juga pertandingan yang menyeronokkan, saya percaya MFL dan FAM pasti jumpa cara terbaik mendepani perkara ini. Keutamaan sekarang adalah semua pihak perlu memberikan kerjasama dalam menghadapi Covid-19.”

Rajagobal dalam pada itu juga mencadangkan jika sekiranya MFL berhasrat meneruskan kesemua pertandingan, beliau mencadangkan supaya format saingan Piala FA diubah kepada aksi kalah mati.

Beliau menganggap langkah berkenaan bukan sahaja mengurangkan jumlah perlawanan, malahan memendekkan tempoh perjalanan pertandingan.  Ini sekali gus memberi peluang kepada MFL untuk menganjurkan Piala Malaysia.

Berdasarkan jadual asal MFL, saingan Liga Super dan Liga Premier yang bermula pada 29 Feb lalu, dijangka berakhir pada pertengahan Julai, manakala saingan Piala Malaysia dijadualkan berlangsung pada awal Ogos.