Pasukan bola sepak di Sarawak masih belum boleh berlatih sungguhpun Kerajaan Malaysia telah sebelum ini memberi lampu hijau untuk pasukan – pasukan tersebut berbuat demikian sebelum ini.

Laporan TV Sarawak memetik Menteri Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah sebagai mendedahkan bahawa sebarang kejohanan bolasepak yang melibatkan saingan liga masih tidak dibenarkan untuk menjalani sebarang latihan.

Menurut laporan tersebut, Abdul Karim menyatakan bahawa ini adalah disebabkan sukan tersebut adalah sukan yang melibatkan sentuhan.

Sungguhpun demikian, Abdul Karim menyatakan bahawa kelonggaran telah diberi kepada pasukan bola sepak yang bakal menghadapi temasya SUKMA Johor dimana mereka dibenarkan untuk menjalani latihan sebagai persiapan awal.

“Bolasepak padang saya rasa belum boleh untuk ‘contact sports’, tapi kalau untuk persiapan atlet-atlet SUKMA, ‘state athlete’ saya membenarkan padang bola digunakan sebagai latihan,” katanya pada sidang media Pengumuman SOP Kompleks Sukan dan Rekreasi, pada Isnin.

Dalam sidang media sama, Abdul Karim turut menyatakan bahawa Kompleks Sukan dan Rekreasi di Sarawak hanya akan dibuka kepada orang awam mulai 17 Jun ini.

Sungguhpun demikian, hanya beberapa aktiviti sukan sahaja akan dibenarkan dimana sukan yang melibatkan sentuhan (contact sports) akan terus tidak dibenarkan.