Pasukan Liga Malaysia mungkin akan mengambil langkah ‘menamatkan’ kontrak pemain import mereka bagi mengawal kewangan pada musim ini.

Menurut Arena Metro, beberapa pilihan sedang difikirkan pasukan – pasukan terbabit seperti tidak menyambung kontrak pemain import pada musim depan, menamatkan kontrak lebih awal dengan persetujuan bersama, mengurangkan jumlah pemain import dan menggunakan sepenuhnya pemain tempatan.

Kebanyakan daripada 24 pasukan Liga Malaysia dikhabarkan oleh Arena Metro sebagai lebih berminat memilih opsyen tidak menyambung kontrak pemain import yang tamat hujung tahun ini.

Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd, Effendi Jagan Abdullah dipetik sebagai berkata tindakan tidak menyambung kontrak pemain import akan menyaksikan pasukan terbabit menjimatkan RM20,000 hingga RM50,000 sebulan untuk setiap pemain import.

“Saya menjangkakan nasib pemain import di negara ini agak malang iaitu kemungkinan kontrak mereka tidak akan disambung lagi berikutan setiap pasukan mahu menjimatkan pembelanjaan masing-masing.

“Perkara terbabit tidak dapat dielakkan kerana lebih baik menggugurkan pemain untuk menjimatkan perbelanjaan daripada menanggung bebanan hutang hingga gaji tertunggak.

“Oleh itu, senario bola sepak negara bakal menyaksikan kekurangan pemain import terutama pada musim hadapan dan mungkin ada pasukan tidak menggunakan khidmat mereka bagi memulihkan kembali kantung masing-masing,” katanya kepada Arena Metro.